Pages

Monday, July 11, 2005

Kes liwat budak Kuwait jejaskan kedatangan pelancong

Kes liwat budak Kuwait jejaskan kedatangan pelancong

KUALA LUMPUR 11 Julai - Kedatangan pelancong Asia Barat ke negara ini terjejas setelah berita kes perogol bersiri yang meliwat budak lelaki Kuwait di sini bulan lalu tersebar luas di negara-negara Arab.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, berita itu menggambarkan seolah-olah negara ini tidak selamat dikunjungi khususnya bagi kanak-kanak.

``Berikutan itu kami menerusi jawatankuasa pengurusan krisis mengambil tindakan drastik dengan membetulkan tanggapan setelah perogol itu ditangkap dan dihukum,'' katanya kepada para pemberita, di pejabatnya di sini hari ini.

Pada 1 Julai lepas, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 60 tahun dan sebatan 24 rotan terhadap BSH, setelah mengaku bersalah meliwat kanak-kanak Kuwait berusia 10 tahun itu dan meliwat seorang wanita Ireland selain merogol seorang wanita Korea Selatan.

Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa itu telah memberi penjelasan selepas laporan mengenai kejadian itu disiarkan dalam akhbar-akhbar di Asia Barat.

Katanya, tindakan pantas jawatankuasa itu ternyata mengembalikan keyakinan para pelancong Asia Barat bahawa Malaysia adalah negara selamat untuk dikunjungi.

Terdahulu, Ahmad Zahid memberitahu, kementeriannya dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Komunikasi dan Pelancongan (ICCT) selama tiga hari, November ini.

Persidangan bertemakan `Membina Masyarakat Dunia Yang Dihormati' itu dijangka dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Katanya, antara tujuan persidangan itu ialah bagi membincangkan dan menyorot kembali isu-isu berkaitan komunikasi dan pelancongan sejagat.

Selain itu, katanya, menerusi persidangan itu ahli-ahli akademik dan pengamal industri pelancongan akan berbincang dan berkongsi pengalaman berkaitan dengan isu-isu komunikasi dan pelancongan.

``Antara isu-isu tersebut termasuk pengurusan krisis kesan serangan 11 September, bencana tsunami dan terbaru letupan bom di London pada Khamis lalu,'' katanya.

Beliau berkata, sebanyak 13 kertas kerja akan dibentangkan, antaranya Pelancongan dan Identiti Nasional, Gelagat Melancong, Penjenamaan Pelancongan dan Kesan Sosio Politik dan Ekonomi ke atas Pelancongan.

Katanya, persidangan itu dijangka mampu menarik penyertaan sebanyak 60 peratus peserta luar negara dan 40 peratus lagi peserta tempatan.


Source: http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm

No comments:

Post a Comment