Pages

Monday, February 8, 2010

Pelatih Pusat Pemulihan Henry Gurney liwat rakan sebilik

Pelatih Pusat Pemulihan Henry Gurney liwat rakan sebilik
2010/03/03

MELAKA: Akibat dipercayai tidak dapat mengawal gelora nafsu syahwat peliknya, seorang pelatih lelaki di Pusat Pemulihan Henry Gurney, Telok Mas, tergamak meliwat rakannya sendiri secara paksa selain melakukan seks oral.

Malah, suspek berusia 20-an dan baru tujuh bulan menghuni pusat tahanan itu dikatakan meliwat mangsa yang berusia belasan tahun sebanyak dua kali.

Perbuatan binatangnya itu bagaimanapun terbongkar selepas mangsa yang trauma dengan kejadian menimpanya itu enggan pulang ke pusat tahanan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata bertindak atas laporan polis dibuat seorang kakitangan pusat tahanan itu berhubung kejadian berkenaan pada 27 Februari lalu, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit.

Katanya, polis amat memandang serius setiap aduan yang diterima.

“Berdasarkan laporan polis itu, pengadu menyatakan seorang pelatih berusia belasan tahun mendakwa diliwat rakannya pada 8 Februari lalu.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa enggan balik ke pusat tahanan berkenaan selepas selesai perbicaraan kesnya di Mahkamah Alor Star, Kedah dan menceritakan kejadian itu kepada seorang kakitangan yang kemudian membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah, semalam. Hadir sama, Timbalannya (Bahagian Pendakwaan), Superintendan R Gunarajan dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Poh.

Mohd Adnan berkata, polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan seks luar tabii yang membawa hukuman penjara 15 tahun dan sebatan, jika disabitkan.

"Setakat ini, kita sudah pun mengenal pasti suspek. Malah, mangsa juga sudah dirujuk kepada doktor untuk melakukan pemeriksaan.

"Dalam kes ini, mangsa mendakwa diliwat sebanyak dua kali dan siasatan lanjut masih dilakukan bagi menentukan kesahihannya," katanya.