Pages

Monday, January 7, 2008

Warga Emas Dituduh Liwat Budak Lelaki 7 Tahun

Rayuan pendakwaan kes warga emas dituduh liwat budak ditangguh

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menangguhkan ke satu tarikh lain keputusan rayuan pihak pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen Ipoh terhadap seorang warga emas yang didapati bersalah melakukan seks luar tabii terhadap seorang budak lelaki berumur tujuh tahun.

Hakim Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff yang bersidang bersama Hakim Datuk Md Raus Sharif dan Hakim Datuk Heliliah Mohd Yusof menangguhkan ke tarikh lain keputusan rayuan pendakwaan terhadap CXY WXY HIJKL selepas mendengar hujahan keduadua pihak.

Pada 25 Mac 2003, Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan rotan terhadap CXY, 52, setelah mendapati dia bersalah melakukan perbuatan itu dalam bilik mandi sebuah rumah di Ipoh, Perak, antara Januari dan April 2002.

CXY yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Ipoh, dan pada 15 Nov 2006, Mahkamah Tinggi mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya dengan alasan tiada keterangan sokongan terhadap keterangan budak lelaki itu di mahkamah selain mendapati ada percanggahan dalam keterangan dua pakar kanak-kanak dan seorang pegawai perubatan berhubung kesan koyakan di dubur budak lelaki itu.

Pihak pendakwaan kemudiannya membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Semasa prosiding hari ini, hakim Mohd Ghazali mempersoalkan sejauh mana seorang saksi boleh dianggap memberi keterangan sebagai "child of tender age" (kanak-kanak yang masih kecil) dalam sesuatu perbicaraan jenayah seksual.

Akta Keterangan menyatakan bahawa keterangan seorang saksi kanak-kanak yang masih kecil hanya boleh diterima jika disokong keterangan bebas, seperti daripada pakar perubatan, dalam kes ini.

"Bagaimanapun, apakah definisi sebenar child of tender age?" katanya kepada Timbalan Pendakwa Raya Jamhirah Ali.

Isu itu timbul apabila Jamhirah memberitahu mahkamah bahawa budak lelaki itu layak untuk memberi keterangan di mahkamah walaupun berumur sembilan tahun dan keterangannya telah disokong oleh keterangan dua pakar kanak-kanak yang memeriksanya.

Jamhirah dalam hujahannya berkata tidak ada definisi khusus mengenai seorang saksi yang boleh dianggap "child of tender age" dalam perbicaraan jenayah seksual di bawah Akta Kanak-Kanak, Kanun Keseksaan mahu pun Akta Keterangan.

"Ini bererti mahkamah (semasa perbicaraan) perlu memutuskan melalui inkuiri sama ada kanak-kanak itu tender age atau tidak kerana isu ini subjektif dan bergantung pada kanak-kanak itu sendiri," katanya.

Jamhirah juga berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi tersilap dalam membuat keputusan bahawa keterangan dua pakar kanak-kanak dan seorang pegawai perubatan mengenai kesan koyakan itu bercanggah kerana keterangan dua pakar kanak-kanak adalah sama, cuma yang berbeza adalah keterangan dari pegawai perubatan.

"Pegawai perubatan adalah orang pertama memeriksa budak itu dan dia kemudiannya merujuk budak itu kepada pakar kanak-kanak di hospital yang sama iaitu Hospital Besar Ipoh," katanya.

Peguam Naran Singh pula berhujah bahawa keterangan CXY semasa pembelaan bahawa dia tidak melakukan kesalahan itu telah disokong oleh isterinya yang merupakan penjaga kepada budak lelaki itu. BERNAMA