Pages

Sunday, June 17, 2012

Budak Umur 8 Tahun Liwat Kawan Dalam Sekolah

KLANG: Gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang hanya dikaitkan dengan golongan dewasa semakin membimbangkan banyak pihak kerana dikesan boleh mengancam golongan pelajar sekolah.

Jika gejala ini tidak dipandang serius, ia mungkin menular kepada pelajar kerana wujud laporan daripada pihak sekolah kes di mana murid tahun dua di Petaling Perdana ditangkap kerana meliwat di dalam tandas sekolah, baru-baru ini.

Penolong Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana, Wan Fauziah Wan Abdullah berkata, kurang didikan agama dan perhatian ibu bapa serta penggunaan Internet tanpa kawalan menjadi pendorong berlakunya gejala ini.

“Empat kes membabitkan pelajar diterima sejak Januari hingga awal Jun lalu dan pihak kami akan memanggil pelajar terbabit untuk diberi kaunseling.

“Ibu bapa turut dipanggil bagi memastikan perbuatan anak mereka diketahui dan pemantauan berpanjangan boleh dilakukan untuk mengekang perbuatan sama berulang,” katanya ketika ditemui pada program Seminar Keibubapaan Isu LGBT, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Sementara itu, Mohd Puad meminta semua pihak, terutama ibu bapa dan guru, memantau gejala LGBT yang ditunjukkan oleh pelajar bagi mencegah ia menjadi fenomena dan gaya hidup masyarakat.

Menurutnya, walaupun perbincangan mengenai LGBT masih taboo di kalangan masyarakat, mereka tidak harus berasa malu membincangkannya isu itu bersama anak kerana ia bertujuan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada mereka.

“Kita berharap program seminar seperti ini bukan saja dapat memberi penerangan mengenai gejala LGBT, tetapi kita mahu masyarakat, terutama ibu bapa dan guru, mencegah ia daripada terus menular,” katanya

Friday, June 15, 2012

Pengawal turut disyaki liwat abang mangsa

Pengawal turut disyaki liwat abang mangsa
20 Jun 2012

KAMPUNG RAJA – Pengawal keselamatan berusia 56 tahun yang ditahan polis kelmarin kerana disyaki mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan 7 tahun, masih ditahan kerana turut dipercayai meliwat abang kanak-kanak itu yang berusia 9 tahun.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, warga emas itu akan disiasat terhadap kes seks luar tabie apabila abang mangsa yang belajar di tahun tiga mengadu kepada ibunya, dia telah diliwat oleh suspek.

Menurutnya, mangsa dikatakan memberitahu perbuatan jijik suspek kepada ibunya selepas perbuatan terkutuk suspek yang dipercayai mencabul kehormatan adiknya di Hutan Lipur Lata Tembakah terbongkar.

“Mangsa memberitahu suspek meliwatnya pada kali pertama pada akhir April lalu di Kampung Padang Bual, Pasir Akar, Hulu Besut dan perbuatan itu berlarutan hampir setiap minggu sehingga 9 Jun lalu di kawasan kebun dekat Lata Tembakah,” katanya.

Kamaruddin berkata, sebelum ini mangsa dikatakan takut untuk mendedahkan perbuatan suspek dan selepas kes adiknya dicabul terbongkar, baru dia memberitahu ibunya.

Menurutnya, mangsa telah dihantar menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan hasil pemeriksaan mendapati ada beberapa kesan kecederaan lama pada dubur mangsa.

Suspek ditahan lanjut untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 377 (b) Kanun Keseksaan berhubung kesalahan seks luar tabii (liwat) dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Sinar Harian semalam melaporkan berita penangkapan suspek apabila seorang pengawal keselamatan berusia 21 tahun terkejut selepas mendapati, gambar bogel adiknya berusia tujuh tahun terdapat dalam rakaman video telefon bimbit milik rakan setugasnya.

Sebelum itu, pengawal keselamatan berusia 21 tahun diminta oleh suspek berusia 56 tahun agar mengecas bateri telefon bimbitnya.

Pada kesempatan itu, abang mangsa mengambil peluang memeriksa gambar di dalam telefon bimbit itu, dan terkejut apabila salah satu video di dalamnya memaparkan aksi adiknya disyaki dicabul oleh suspek.

Bagi kes pertama itu, suspek telah membuat rakaman video aksi tidak senonohnya terhadap kanak-kanak perempuan itu pada jam 12.09 tengah hari, 6 Mei dan jam 1.55 petang, 3 Jun lalu di kawasan hutan Lipur Lata Tembakah, Hulu Besut