Pages

Tuesday, September 17, 2013

Tukang kebun direman liwat 7 pelajar lelaki

Tukang kebun direman liwat 7 pelajar lelaki
20 September 2013

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang kebun di sebuah sekolah di sini, diibaratkan bernafsu songsang apabila dipercayai tergamak meliwat tujuh pelajar lelaki berusia 13 tahun dalam kejadian berasingan di rumah sewanya, di Kampung Pasir Panjang, di sini.

Suspek yang berusia 56 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu sejak Januari lalu dan berlarutan sehinggalah rahsianya terbongkar kelmarin, selepas salah seorang daripada mangsa mendedahkan peristiwa hitam itu kepada ibu bapanya.

Menurut sumber, mangsa berusia 13 tahun telah memberitahu kejadian dia diliwat oleh suspek, kepada kedua ibu bapanya semasa berada di rumah kira-kira jam 10.30 malam, 17 September lalu.

Lebih mengejutkan, mangsa turut memaklumkan beberapa rakannya turut menjadi hamba seks kepada suspek yang layak dipanggil ayah itu.

“Terkejut dengan pendedahan itu, keluarga mangsa bersama beberapa penduduk kampung segera ke rumah suspek bagi mendapatkan kesahihan di sebalik cerita anaknya iaitu kira-kira jam 6 petang semalam (kelmarin).

“Sebaik sampai di rumah suspek, keluarga mangsa yang gagal mengawal perasaan marah bertindak menyerang dan memukul suspek, lebih-lebih lagi selepas mendengar pengakuan suspek melakukan perbuatan jijik itu,” katanya, semalam.

Bagaimanapun jelasnya, polis yang dimaklumkan juga kejadian berkenaan sebelum itu segera ke rumah suspek bagi mengawal keadaan sebelum menahan suspek, kira-kira sejam kemudian.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati, suspek yang masih menjalani parol di sini, dipercayai menjadikan pelajar yang sering ponteng sekolah sebagai mangsa dengan mengumpan mereka ke rumah untuk makan, sebelum memuaskan nafsu jijiknya itu.

“Selain memberikan makan dan minum, suspek turut memasang video lucah bagi merangsang mangsanya sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu,” katanya.

Jelas sumber, suspek yang turut memiliki rekod jenayah meliwat sebelum ini dan pernah menerima hukuman penjara serta sebatan atas kesalahan itu, baru tamat menjalani hukuman penjara Oktober tahun lalu.

Sehingga semalam, seramai tujuh remaja lelaki dipercayai menjadi mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi semalam, mengesahkan penahanan suspek yang direman selama seminggu bermula semalam sehingga 25 September depan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 377C kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.

Thursday, August 15, 2013

Pelajar dakwa diliwat tiga kali

Pelajar dakwa diliwat tiga kali
16 November 2013

SELAYANG - Bapa seorang pelajar tingkatan 2 membuat laporan polis selepas mendakwa anaknya diliwat sebanyak tiga kali oleh kenalan barunya  di tiga lokasi berbeza di Kepong sejak Ogos lalu.

Bapa yang mahu dikenali sebagai Ng, 53, berkata, kejadian hanya diketahui Oktober lalu selepas anak lelakinya mengadu mengalami pendarahan sewaktu membuang air besar.

Menurutnya, pihak hospital memaklumkan perlu membuat laporan polis sebelum pemeriksaan kesihatan dilakukan.

“Anak saya takut memaklumkan kejadian kerana telah diberikan amaran dan menerima ugutan akan dicederakan menyebabkan perkara itu hanya didiamkan.

“Bagaimanapun dia mengadu mengalami pendarahan sewaktu membuang air besar menyebabkan saya dan isteri membawanya untuk pemeriksaan dan ketika itu barulah kami mengetahui isu tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, suspek sehingga kini belum ditahan dan anaknya hampir tiga minggu tidak ke sekolah kerana bimbang keselamatan diri kerana dipercayai suspek berlindung di sebalik kumpulan gengster.

“Anak berkenalan dengan suspek di kawasan menunggu di sekolah dan memperkenalkan diri dari persatuan wusyu ingin membantunya menjadi kuat kerana anak saya dari kecil menghidap kencing manis serta bergantung dengan ubat-ubatan.

“Suspek berusia 20-an dan yakin ramai mangsa yang tertipu dengannya serta membuat gangguan seksual di sebalik persatuan wushu,” katanya.

Katanya, dia berharap pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan supaya suspek dikenakan tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Pengerusi MCA cawangan Selayang Jaya, Jessie Ooi meminta supaya pihak sekolah lebih tegas melarang pihak luar yang tiada urusan daripada masuk ke kawasan sekolah.

“Pihak sekolah juga diminta untuk mengawal keselamatan pelajar-pelajar termasuk memantau anak-anak yang tiba awal ke sekolah dan pulang lewat.

“Kejadian berlaku sewaktu mangsa tiba awal ke sekolah dan didatangi suspek iaitu orang luar yang menawarkan latihan wushu secara percuma untuk tujuan pertahankan diri sebaliknya melakukan aktiviti tidak bermoral ke atas pelajar tersebut,” katanya.