Pages

Wednesday, June 29, 2011

Lelaki rogol budak dihukum penjara, sebat

Lelaki rogol budak dihukum penjara, sebat
 LEDANG 29 Jun – Seorang pekerja warung dihukum penjara lima tahun dan sebatan dua kali oleh Mahkamah Sesyen Tangkak di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang budak perempuan berusia 11 tahun. Hakim Kamarudin Kamsun memerintahkan hukuman penjara ke atas RO, 22, berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap sehari selepas kejadian. RO mengaku melakukan kesalahan itu antara pukul 7 dan 8 malam, 18 Jun lalu, di bilik sebuah hotel di bandar Muar. Tertuduh yang berasal dari Sungai Mati, Ledang didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Berdasarkan fakta kes, tertuduh menemui mangsa bersama seorang rakan lelakinya ketika berjalan-jalan berhampiran Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) sebelum mereka dibawa makan di sebuah restoran di Jalan Abdullah dan dipelawa membeli baju. Tertuduh kemudian membawa mangsa bersama rakannya ke sebuah hotel dengan alasan untuk bertemu ibunya dan menyuruh rakan mangsa mandi semasa dia merogol mangsa. Mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada hari yang sama dan tertuduh berjaya diberkas keesokannya. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asrof Adrin Kamarul manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tuesday, June 7, 2011

Datuk Cabul Budak Enam Tahun

Walaupun sudah berusia, seorang warga emas yang dipercayai gagal mengawal nafsunya nekad memeluk dan mencium seorang kanak-kanak perempuan yang sedang bermain di pekarangan kedai makan di Jalan Raja Uda, dekat sini, kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa berusia enam tahun dikatakan sedang menunggu ibunya yang menjual buah-buahan berhampiran kedai makan terbabit, kira-kira jam 5 petang.

Mangsa yang bermain sendirian itu dikatakan didatangi warga emas berusia 60-an terbabit yang menunggang basikal sebelum memeluk dan menciumnya sebelum disedari rakan kepada ibu mangsa yang memaklumkan kejadian itu kepadanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, ibu mangsa yang berang sebaik dimaklumkan kejadian itu bersemuka dengan warga emas berkenaan.

Katanya, ibu mangsa memarahi warga emas berkenaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh kepada anaknya, namun lelaki terbabit menafikannya sebelum beredar dengan selamba.

“Ibu mangsa yang bimbang keselamatan anaknya dan risau kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Komuniti Mak Mandin.

“Hanya selepas 30 minit laporan dibuat, sepasukan polis berjaya menahan suspek yang berada tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354, Kanun Keseksaan iaitu menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat hendak mencabulnya.